Sunday, May 30, 2010

JANGAN JADI SEPERTI BANGKAI PADA WAKTU MALAM

Daripada Abu Hurairah ra berkata: Rasulullah bersabda kepada ku:

إِنَّ اللهَ يَبْغُضُ كُلَّ جَعْظَرِيٍّ جَوَّاظٍ صَخَّابٍ فِي الْأَسْوَاقِ جِيْفَةٍ بِاللَّيْلِ حِمَارٍ بِالنَّهَارِ عَالِمٍ بِأَمْرِ الدُّنْيَا جَاهِلٍ بِأَمْرِ الْآخِرَةِ

“ Sesungguhnya Allah benci setiap manusia yang kasar (suara dan tingkah laku), kuat makan, bising semasa di pasar, tidak bangun solat malam seperti bangkai, berkerja keras pada waktu siang seperti himar, amat mengetahui tentang ilmu dunia dan jahil tentang akhirat.”

Hadis riwayat Ibnu Hibban (72), Baihaqi (Sunan) dan Asbahani. Syeikh Syuaib berkata: Sanad hadis ini kuat.

Imam Munziri meletakkan hadis di bawah tajuk “MEMBERI PERINGATAN BURUK KEPADA MANUSIA YANG TIDUR SAMPAI SUBUH DAN TIDAK BANGUN BERQIAMULLAIL”

Dr Yusuf Qardawi menerangkan makna “tidak bangun tahajud seumpama bangkai”:
“ Manusia ini diumpamakan bangkai pada waktu malam kerana tidur adalah salah satu bentuk mati.”

SPECIAL TIME FOR HIS SLAVES

Oleh itu Allah benci manusia yang tidur pada waktu malam tanpa bangun untuk bertahajud dan bermunajat kepadanya. Sedangkan Allah khususkan di penghujung malam untuk hamba-hambanya mengadu dan bermunajat kepadanya. Rasulullah saw bersabda:

ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى سماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر قيقول : من يدعوني فأستجيب له؟ ومن يسألني فأعطيه؟ ومن يستغفرني فأغفر له

“ Allah swt turun pada setiap malam ke langit dunia ketika sepertiga malam yang terakhir. Tuhan berkata “ Siapa yang berdoa akan ku perkenankan doanya. Siapa yang meminta kepadaku akan ku berikannya. Sesiapa yang beristighfar maka akan ku ampunkannya”`

Hadis sahih Bukhari dan Muslim


Bayangkan sahabat-sahabat sekiranya seorang penjenayah berat akan diampunkan sekiranya dia merayu kepada Raja pada pukul 3 pagi pasti dia akan pergi waktu tersebut dan menunggu di pintu istana seawal mungkin. Bayanngkan sekiranya Raja menawarkan akan memberi apa sahaja permintaan kita sekiranya kita menghadapnya di awal pagi pasti kita akan menunggu di pintu istana sejak malam lagi. Namun raja segala raja telah memberi tawaran kepada kita pada waktu sebelum subuh tapi kenapa kita masih tidur lagi. Itu kerana kita dikencing oleh syaitan dan diri kita berlumuran dengan dosa.

Kalau kita rasa kita itu sudah baik dan bersih dari dosa (ini adalah penyakit hati) maka anggaplah masa ini masa seorang kekasih bertemu dengan kekasihnya. Adakah seorang lelaki akan disayangi oleh kekasihnya sekiranya selalu terlepas dalam temu janjinya? Kalau setiap hari begini pastilah cinta itu sudah berkubur dan hubungannya akan diputuskan.

KENCING SYAITAN

Apabila diberitahu kepada Nabi saw tentang seorang lelaki yang tidak bangun tahajud dan bangun ketika watu sudah subuh. Nabi saw bersabda:

ذاك الرجل بال الشيطان في أذنيه

“ Lelaki itu telah dikencing syaitan di dua telinganya.”


Hadis sahih Bukhari dan Muslim.

Ini yang bangun waktu subuh. Kalau bangun selepas waktu subuh, apa agaknya najis syaitannya yang masuk? Adakah lubang telinga sahaja atau semua lubang?

BELENGGU DOSA

Fudail bin Iyad berkata:

إذا لم تقدر على قيام الليل وصيام النهار فاعلم أنك مكبول كبلتك معصيتك

“ Apabila kamu tidak mampu untuk bangun tahajud waktu malam dan tidak mampu puasa sunat pada waktu siang maka ketahuilah kamu sudah dibelenggu oleh maksiatmu.”

Oleh itu kita perlu bertaubat sentiasa dan menghindari dari maksiat. Lidah yang penuh maksiat tidak layak untuk bermunajat pada waktu malam. Mata yang penuh maksiat tidak layak untuk berjaga untuk tahajud dan menangis. Kaki dan tangan penuh maksiat tidak mampu untuk digerakkan pada waktu malam untuk bangun bertahajud. Yang penting hati sentiasa ingat benda yang haram tidak layak untuk berjaga dengan segarnya pada waktu malam untuk tahajud.

PASANGAN YANG BERTAHAJJUD

Selain dari itu kita hendaklah mencari teman yang baik atau pasangan yang baik agar dapat mengejutkan kita waktu malam. Nabi saw bersabda:

إذا أيقظ الرجل أهله من الليل فصليا ركعتين جميعا كتبا في الذاكرين والذاكرين

“ Apabila seorang lelaki bangun dan mengejut isterinya pada waktu malam. Lalu mereka solat dua rakaat bersama-sama, kedua-kedua mereka ditulis dikalangan lelaki-lelaki dan wanita-wanita yang sentiasa berzikir kepada Allah swt.”

Hadis riwayat Abu Daud dan Nasaie, Hakim juga riwayat dengan makna hadis yang sama dengan sanad ditashihkan oleh Imam Zahabi.

Oleh itu carilah teman serumah yang mampu mengejutkan kita bertahajjud. Terutamanya orang yang tidak mampu tahajud dan ingin tahajud. Begitu juga hendaklah cari pasangan yang boleh membantu kita bertahajud. Namun kita kena lihat kepad keadaan teman serumah tadi. Kalau subuh pun masih lambat atau luar waktu kita kena usahakan subuh dahulu barulah tahajud.

SUBUH PUN MASIH LEWAT

Bila sebut pasal subuh awal ni, amat duka cita kerana masih terdapat ramai yang kelewatan subuh. Lebih sedih kerana terjadi pada ramai mahasiswa agama atau orang yang menulis dan bercakap pasal agama dan menganjurkan program agama. Ini adalah termasuk dalam perumpamaan Nabi berkenaan dengan lilin. Menyuruh manusia lain buat baik namun melupai diri. Boleh rujuk dalam artikel ini.

Ibnu Mas’ud berkata:

إذا فقدنا الرجل في صلاة الصبح وصلاة العشاء في جماعة أسأنا به الظن

“Apabila kami tidak bertemu seorang lelaki ketika solat subuh atau isya berjemaah di masjid , kami akan bersangka buruk kepadannya.”

TIPU DAYA SYAITAN

Janganlah kita bagi alasan kita sibuk buat program, mesyuarat , mengaji, mengajar, study, berdakwah dan lain-lain untuk tidak tahajud dan bangun lewat. Nabi adalah sebaik manusia sebagai pemimpin, pendakwah, Pelajar (mengambil wahyu dari jibril), suami (9 isteri)tetapi Nabi saw tidak pernah meninggalkan tahajud. Aisyah berkata:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم يقوم من الليل حتى تتفطر قدماه

“Sesungguhnya Rasulullah saw bangun bertahajjud pada waktu malam sehingga pecah-pecah kakinya.”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Para khalifah dan Gabenor dikalangan sahabat Nabi saw semuanya memintangkan tahajud sehingga Umar berkata: “Kalau aku tidur waktu malam akan sia-sialah hak Allah.” Salahuddin al-Ayyubi juga amat mementingkan tahajudnya kepada tenteranya sedangkan kita tahu tidak ada kerja lebih teruk dari peperangan. Bila mana beliau melihat ada khemah tentera tidak tahajud, beliau berkata:

فإن أوتينا فمن قبل هولاء نؤتى

“Sekiranya kita didatangi musuh maka musuh akan datang dari pihak mereka (kerena kelemahan mereka) . “ atau pun “ Sekiranya kita dikalahkan maka sebab merekalah kita dikalahkan.

Adakah tanggung jawab kita lebih besar dari Nabi sehingga mana kita jadikan kerja dan tanggung jawab sebagai alasan untuk tidak bertahajud? Adakah kita tidak berdosa seperti Nabi? Kita lebih patut bangun menangis dan bertahajud kerna kita insan yang banyak dosa. Ini semua adalah talbis iblis (tipu daya syaitan) kepada pendakwah dan perkerja-pekerja Islam.

MAHAR BIDADARI

Seorang salafus soleh bermimpi berjumpa dengan bidadari dalam mimpinya. Bidadari berkata:

“Pinanglah aku dan berilah maharnya kepada Tuhan.”

Beliau bertanya:

“Apa maharnya?”

Bidadari menjawab:

“ Lama tahajjud.”

Suatu hari Abu Sulaiman ad-Darani tidur pada waktu malam. Dalam tidurnya, beliau melihat bidadari mengejutnya dan berkata:

“ Adakah engkau tidur (tidak tahajud) hai Abu Sulaiman sedangkan aku menantimu di sebalik tirai sejak 500 tahun.”

KESIMPULAN

TAHAJUD BUKAN SEGALANYA TETAPI KALAU TIDAK MAMPU TAHAJUD MAKA ADA YANG TIDAK KENA PADA HUBUNGAN HAMBA DENGA TUHAN SEMESTA. KADANG-KADANG KITA RASA KITA DAH TAK BUAT DOSA TETAPI TAK MAMPU UNTUK BANGUN. INI SAMA ADA KITA PERLU MENGAJI LAGI UNTUK MENGETAHUI DOSA YANG ADA PELBAGAI BENTUK ATAU PUN SEBAB HATI KITA BERASA SUDAH SEMPURNA DAN INILAH YANG PALING BAHAYA. ORANG YANG RASA SELAMAT DARI NERAKA ADALAH ORANG YANG RUGI SEPERTI DALAM SURAH AL-A’RAF AYAT 99.

“OH TUHAN TERIMA LAH TAUBAT KAMI, JAUHKAN KAMI DARI DOSA DAN LAYAKKAN KAMI UNTUK BERMUNAJATMU DI SEPERTIGA MALAM TERAKHIR DENGAN IKHLAS.”

Rujukan: Al-Muntaqa oleh Qardawi, Lataiful Ma’arif oleh Ibnu Rajab, Sahih Bukhari dan Targhib wat Tarhib oleh Munziri.


Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

kredit untuk penulis artikel, ada sebarang kemusykilan?

http://akhisalman. blogspot. com/

juga

http://ikhwanzhaki. blogspot. com




*****


Semoga usaha-usaha yang dilakukan beliau untuk menyampaikan ilmu ini, menaikkan lagi darjat beliau di sisi Allah s.w.t juga mampu menambahkan lagi keimanan dan kefahaman kita tentangnya.

Jangan dibiarkan kelalaian hati dan perbuatan dosa menjadi hijab kita dengan Allah.

hati tempat jatuhnya pandangan Allah.

Sedangkan kecantikan lahiriah menjadi ukuran dan penilaian manusiawi yang bersifat hawa nafsu semata. Renung-renung dan buat ukuran pada diri masing-masing, selama mana usia yang telah Allah kurniakan kepada kita sehingga mencapai umur hari ini sudah bersediakah dibawa untuk pertemuan denganNya? Sedangkan dunia akan pergi dan akhirat makin dekat.

24 jam yang berlalu sehari, berapa banyak masa kita ambil untuk sibuk dengan Allah?, jika ada yang berkata masih bisa sahaja melakukan ibadah kepada Allah, dengan ditambah perkara-perkara sunat dan lain-lainnya ibadah, bagaimana pula jika ibadah yang dilakukan itu ditapis pula lagi kelalaian kita ketika beribadah, kekusyukan, dan keikhlasan yang menjadi tunjang penerimaannya? , dan lain-lain lagi. Allahu akhbar, sebenarnya berapa banyak mana sangat ibadah yang benar-benar kita laksanakan semata-mata ikhlas untuk Allah??.

Mudah berkata sibuk.

Lebih mengutamakan tuntutan diri dari tuntutan Allah, mengutamakan kerehatan dan hawa nafsu lebih dari mengerjakan amanah dan menyibukkan diri dengan Allah. Ketahuilah kesibukkan yang sebenar adalah ketika kita dibangkitkan untuk di hisab dipadang masyar, hari walau sekecil zahrah sekalipun dosa dan kebaikan ditimbang dan juga ketika mana semua yang yang berada di atas bumi dan seluruh alam ini merasai goncangan hari kiamat yang dasyat. Subahanallah. Maha Suci Engkau Ya Allah!.


" Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu; sungguh, goncangan (hari) kiamat itu adalah suatu (kejadian) yang sangat besar"


" (ingatlah) pada hari ketika kamu melihatnya (goncangan itu), semua perempuan yang menyusui anaknya akan lalai terhadap anak yang disusuinya, dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya, dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah itu sangat keras".

(Al-hajj ayat 1-2)

Siapa pun anda ketika hayat.

Memiliki phd?, Master?, mahupun Ijazah?
Berjawatan tinggi? atau rendah?.
Kaya? atau miskin?,
Pensyarah?, guru?, doktor?, polis?, bomba?, arkitek?, ataupun suri rumah ?,
mahupun seorang Raja?, Sultan?, Perdana Menteri? atau rakyat biasa?.


Di pandangan manusia mungkin berbeda, namun pandangan Tuhan kita semua adalah sama, tiada beza melainkan iman dan takwa yang bakal menjadi 'pelampung' akhirat.


Sekadar mengajak diri dan sahabat bermuhasabah, menilai kembali tahap ibadah yang dilakukan. Semoga tulisan ini bermanfaat.

Segala yang baik itu, datang dan diilhamkan dari Allah s.w.t, dan segala yang buruk itu terzahir atas kelemahan dan kekurangan diri. Wallahu'3lam bissowab.

Sekian.

Thursday, May 6, 2010

JANGAN PERNAH LETIH BERBUAT KEBAIKAN

jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

"Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini," kata seorang kakak berterus-terang.
"Mengapa?" balas saya.

"Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja."

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, "kakak punya berapa orang anak?"
Sengaja saya bertanya soal-soal "di luar kotak" agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
"Oh ramai encik…"
"Bagaimana dengan anak-anak kakak?"

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
"Kakak, boleh saya bertanya?"
"Tanyalah encik…" ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

"Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang "menjadi" dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?"
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, "antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?"

Dengan cepat kakak itu menjawab, "hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!"

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
"Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…" kata saya perlahan. Hampir berbisik.
"Maksud encik?"
"Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi."
"Tidak pernah saya terfikir begitu encik…"

"Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah."
"Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?"
"Maksud kakak?"

"Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?"
"Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!"

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
"Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…"

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
"Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?"

Kakak itu tersenyum dan berkata, "tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya."
"Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?'
"Pasti ada! Insya-Allah. "
"Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi."

"Subhanallah! "
"Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini."
"Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan? " tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

"Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya! "
"Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat."
"Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi."

"Maksud encik?"
"Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan."
"Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!"

Giliran saya pula tersenyum.
"Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back but more than that… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura! " terang saya panjang lebar.

"Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?"
"Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our "ceo", kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…"
"Maksud encik?"

"Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya."
"Kenapa?"
"Kita akan sakit jiwa!"
"Kenapa?"
"Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur," balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

"Tetapi Allah tidak berhenti memberi… " kata kakak itu perlahan.
"Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?"
"Ah, kita terlalu ego…"

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa "diperingatkan" semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?
Sekadar perkongsian kepada sahabat2 semua..^_^. Sama-sama istiqamah dalam perjalanan kita mencari keredhaanNya. .

iman semut vs iman manusia

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi
Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi
Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas
batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.
Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apaka
engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu" Semut pun menjawab:
"Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di
tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang
tandus ini ada rezeki untuk ku".
Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa
banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak
mana engkau makan dalam sebulan?"
Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji
gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu
dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji,
dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi Allah Sulaiman
tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.
Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi
hanya dimakan setengah sahaja oleh semut.
Lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong
pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini
sudah sebulan tapi kamu makan setengah".
Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada
di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti
sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiridan rezeki
itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku.
Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku
bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah
aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu
lupa".
Itulah Iman Semut !!!

_Iman manusia ?_

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek
kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang
ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur
perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah
dia tidak gali kubur untuk tanam mayat. Sebaliknya apabila orang mati
sudah ditanam, waris sudah lama balik kerumah dan Munkar Nakir sudah
menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik. Dia
nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar
Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai
100 kubur.
Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya:
"Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua
sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98
lagi sudah beralih ke belakang?".
Jawab Imam Suffian:" Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang
percaya rezeki itu di tangan Allah s.w.t. 98 orang lagi tidak percaya
bahawa rezeki di tangan Tuhan".
Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang
banyak, biasanya iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih
kuat dari iman manusia.
Itulah iman manusia (kita) !!!.